Friday, November 06, 2009

Laporan Lawatan Ke Kelas Pendidikan Khas.

"Ia menyediakan perkembangan optimum kanak-kanak dengan keperluan-keperluan pendidikan khas agar dapat berfungsi sebagai individu yang berkemahiran, berdikari, berhaluan, boleh merancang, mengurus kehidupan sendiri, boleh menyedari potensi sendiri dan boleh menyesuaikan diri dalam masyarakat".

- Falsafah Pendidikan Khas -

Sama seperti Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Khas juga bertujuan untuk memberi kesinambungan yang membolehkan dan memenuhi keperluan kepada mereka yang berkeperluan khas dalam konteks sosial dan persekitaran yang sama. Pelbagai usaha yang dilakukan dan dirancang untuk memberikan segala macam keperluan kepada mereka. Segala-galanya adalah satu tanggungjawab bukan hanya kepada keluarga terdekat dan Kementerian Pendidikan, tetapi masyarakat juga memainkan peranan yang penting agar mereka diterima seperti orang lain. Secara dasarnya, pihak sekolah merupakan agen yang terpenting untuk mereka menimba ilmu dan meyiapkan diri untuk menghadapi kehidupan yang mencabar kelak.

Kanak-kanak khas ialah golongan yang istimewa. Kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab hendaklah seharusnya tidak memandang rendah tahap kebolehan mereka dan dipinggirkan begitu sahaja, ssebaliknya kita hendaklah memberi peluang yang sama kepada mereka. Kita hendaklah memperseimbangkan semua peluang pendidikan yang ada, antara murid-murid istimewa dan murid-murid normal. Semua aspek yang berkaitan seperti pembangunan fizikal, pembelian alatan khas, perkhidmatan sokongan kakitangan bukan guru, psikologi pendidikan dan sebagainya hendaklah dititik berat, selaras dengan objektif Pendidikan Khas itu sendiri.

Apa itu Pendidikan Khas? Sang (2000) menyatakan bahawa Pendidikan Khas ialah pendidikan yang disediakan untuk murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran kerana masalah penglihatan, pertuturan dan pendengaran serta masalah dalam pembelajaran, atau pun murid-murid yang pintar-cerdas yang memerlukan pendidikan yang lebih mencabar. Manakala Jabatan Pendidikan Johor (1998) menyatakan Pendidikan Khas ialah golongan mereka yang berkeperluan khas dengan memberi penekanan kepada kebolehan, kefungsian, kemahiran, perkembangan individu murid dan pelajar terhadap penguasaan dan pencapaian dalam kemahiran-kemahiran pengembangan (developmental skills).

Kesamarataan untuk mempelajari Pendidikan Jasmani merupakan satu agenda penting dan perlu diambil perhatian oleh semua pihak terutamanya golongan pendidik. Pendidikan Jasmani untuk semua bermakna apa yang dipelajari oleh murid-murid normal juga boleh dipelajari oleh murid-murid khas. Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu untuk mengembangkan potensi murid secara menyeluruh. Perkembangan tersebut dari segi jasmani, emosi, rohani, sosial, dan juga intelek. Pendidikan Jasmani secara amnya dapat menyediakan individu untuk bersedia melakukan aktiviti seharian dan seterusnya pembelajaran sepanjang hayat. Ini dapat dibuktikan apabila aktiviti berjalan dengan postur yang betul, berlari, dan pelbagai lagi aktiviti seharian dijalankan.

Sekali lagi ditekankan bahawa aktiviti Pendidikan Jasmani melibatkan semua perkembangan yang telah dinyatakan seperti di atas. Semua individu boleh mengikuti dan mempelajari Pendidikan Jasmani. Sungguh pun mereka adalah berkeperluan khas ataupun juga dikenali sebagai golongan kurang upaya, semuanya mempunyai hak yang sama. Murid-murid normal ataupun berkeperluan khas mengunakan kurikulum yang sama. Guru akan menyesuaikan aktiviti dengan tahap dan kemampuan ataupun kebolehan murid. Di sinilah akan berlakunya aktiviti Pendidikan Jasmani Suaian.

Konsep Pendidikan Jasmani Suaian adalah antara perkara penting untuk melaksanakannya. Ia bertujuan untuk menyediakan peluang yang sama kepada murid-murid berkeperluan khas untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang ada, dan juga untuk kepuasan diri. Matlamatnya pula adalah untuk memberikan keseronokkan murid semasa belajar, agar perkembangan murid terbina secara positif dan baik. Ini seterusnya menjadikan murid-murid tersebut insan yang seimbang dan juga menguasai kemahiran asas dalam kehidupan seharian.

Terdapat pelbagai kreteria yang perlu diberikan perhatian untuk menjalankan aktiviti Pendidikan Jasmani Suaian. Tenaga pengajar merupakan salah satu kreteria tersebut. Tenaga pengajar, ataupun guru hendaklah seorang yang berkebolehan dan kreatif. Pertama sekali, guru hendaklah seorang yang berkelayakan untuk mengajar matapelajaran tersebut. Apabila seorang guru tersebut berkelayakan, maka tiada masalah untuk mereka menjalankan aktiviti.

Ini dapat dibuktikan semasa kumpulan kami menjalankan pemerhatian bagaimana Pendidikan Jasmani Suaian itu dijalankan di Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman, Rantau, Negeri Sembilan. Guru terlebih dahulu menunjukan demontrasi untuk melakukan aktiviti sebelum diikuti oleh murid-murid yang bermasalah pembelajaran. Guru menunjukan dengan terperinci agar semua murid dapat memahami dengan lebih mendalam. Guru juga akan mendekati murid yang tidak dapat melakukan aktiviti dengan baik. Guru akan cuba mendorong murid serta memberikan peneguhan positif dengan kata-kata yang baik agar murid terus mencuba dan tidak mudah putus asa.

Ingin kami tekankan di sini, murid-murid yang bermasalah pembelajaran tersebut antaranya terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah seperti autisme, iaitu kebiasaannya mereka yang mempunyai masalah semasa proses komunikasi dan lebih kepada dunia mereka sendiri, hiperaktif (ADHD), murid-murid yang biasanya aktif dan mempunyai daya tumpuan yang singkat dan gagal memberikan perhatian pada sesuatu aktiviti, dan disleksia.

Kursus yang kerap memainkan peranan penting dalam membentuk guru yang baik. Kursus yang berkaitan dengan murid-murid berkeperluan khas akan meningkatkan keupayaan mereka semasa mengajar. Guru akan lebih kreatif untuk memilih aktiviti yang sesuai. Pengurusan masa yang betul juga antara faktir yang ada ada seorang guru yang baik. Aktiviti yang dijalankan perlu diselang-selikan dengan rehat. Namun, masa untuk menguasai sesuatu kemahiran juga boleh dilanjutkan jika murid masih belum menguasai sepenuhnya sesuatu kemahiran yang dipelajari.

Pengurusan masa yang baik dan betul juga memainkan peranan penting untuk memastikan objektif pembelajaran tercapai. Guru yang mengajar kelas tersebut membuktikannya apabila memberikan masa yang lebih lama semasa aktiviti yang sukar. Mereka menyatakan bahawa keseimbangan murid-murid berkeperluan khas ini tidak begitu sempurna. Oleh itu, aktiviti membawa pundi kacang atas kepala mengambil masa yang agak lama agar murid menguasai aktiviti tersebut. Selepas diberikan masa rehat yang singkat, aktiviti seterusnya dijalankan, iaitu menggelecek bola di antara kon kecil.

Infrastruktur juga antara faktor penting yang perlu diberikan perhatian agar Pendidikan Jasmani Suaian dapat dijalankan dengan baik dan sempurna. Pertama-tamanya, infrastruktur atau kemudahan yang ada tersebut hendaklah disesuaikan dengna keupayaan murid-murid tersebut. Guru juga perlu memastikan tempat proses pengajaran dan pembelajaran berada dalam keadaan yang selamat untuk semua.

Semasa guru pendidikan khas tersebut mengajar Pendidikan Jasmani, terdapat juga beberapa kelas lain yang mengadakan aktiviti di padang. Oleh yang demikian, sebagai langkah pertama untuk mengadakan kelas, guru tersebut telah meletakkan kon sebagai penanda tempat agar murid-muridnya tidak melepasi kawasan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru juga telah memastikan alatan yang digunakan berada dalam keadaan yang baik dan tidak mendatangkan sebarang keburukan semasa kelas berjalan.

Pengalaman murid adalah sangat penting supaya guru dapat mengetahui sejauh mana keberkesanan mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Perkembangan murid yang baik adalah berdasarkan pengalaman murid-murid yang lepas. Apabila pengalaman ini dapat dikaitkan, maka objektif akan mudah dicapai. Selain itu, proses penilaian juga perlu diadakan agar guru dapat mengenal pasti tahap keupayaan murid-murid mereka. Ini terbukti, apabila guru yang mengajar pada hari tersebut memberikan penekanan yang lebih kepada murid yang keupayaan mereka agak redah.

Apabila perkembangan murid-murid dapat dikenal pasti melalui proses penilaian, guru akan mudah manjalankan aktiviti yang berkaitan agar perkembangan fizikal dan perkembangan motor murid tersebut dapat diberikan penekanan yang lebih khusus.

Aktiviti yang hendak dilakukan atau dijalankan seharusnya mestilah sesuai dan mudah difahami serta dilakukan oleh murid-murid. Seperti mana yang telah diterangkan, ia adalah berkaitan dengan perkembangan murid-murid itu sendiri. Pemilihan aktiviti yang sesuai dan mudah dapat memasrikan murid melakukan dengan baik selain memberi input yang berguna dan sudah pastinya murid itu sendiri mudah faham dan seronok itu belajar.

Seperti yang dilakukan oleh guru tersebut, mereka terlebih dahulu memilih aktiviti yang sesuai dan mudah. Aktiviti tersebut telah pun dirancang terlebih dahulu. Seterusnya, untuk memastikan semua murid faham akan aktiviti yang akan dijalankan, guru menggunakan semua pancaindera yang ada pada mereka. Ini dibuat agar murid memahami dengan lebih mendalam. Secara verbalnya, guru menggunakan arahan yang mudah dan ringkas, sambil melakukan demontrasi dihadapan murid-murid.

Seterusnya, selepas arahan dan demontrasi dilakukan, guru pula memberikan masa kepada murid-murid untuk melakukan aktiviti yang sama seperti yang dirangcang. Guru tersebut juga menggunkan deria sentuhan ke atas murid yang tidak dapat melakukan aktiviti tersebut dengan baik. Guru menggerakkan anggota murid, antaranya kaki dan tangan. Pergerakan motor kasar murid-murid bermasalah pembelajaran ini juga kadang-kala bermasalah. Selain itu, ada juga beberapa kali guru tersebut perlu mengubah suai beberapa perkara seperti peraturan dan juga cara mengajar.

Persekitaran budaya dan tempat juga memainkan peranan yang penting untuk memastikan Pendidikan Jasmani Suaian itu berjalan dengan lancar dan murid-murid dapat melakukan semua aktiviti dengan baik. Contoh yang diberikan oleh guru semasa mengajar ialah melakukan demontrasi terlebih dahulu, dan memastikan keadaannya selamat dan tidak mendatang sebarang bahaya atau risiko kecederaan.

Ini adalah sangat perlu keranan apabila persekitaran tempat berada dalam keadaan baik dan selamat, maka keyakinan murid akan meningkat dan murid bersungguh-sungguh untuk menjalankan aktiviti, agar dapat bersaing dengan rakan-rakan sekelas yang lain. Sebaliknya, jika keadaan persekitaran kuriang selamat, ia boleh menjejaskan keyakinan murid untuk belajar, dan kesannya objektif pembelajaran tidak dapat dicapai.

Kesimpulannya, input yang kami perolehi semasa lawatan bagaimana kelas Pendidikan Jasmani Suaian dilakukan adalah sangat berguna kepada kami pada masa hadapan kelak. Guru adalah bukan hanya faktor kepada kejayaan pembelajaran dan pengajaran, tetapi terdapat pelbagai lagi faktor lain yang perlu diberikan perhatian agar ia dapat berlangsung dengan baik, seterusnya semua objektif pembelajaran dapat dicapai sepenuhnya. Maka, diharapkan perkembangan murid-murid juga sudah semestinya bertambah baik dan memberikan kesan positif ke atas kehidupan mereka seharian.

(Ini adalah pendapat individu. mungkin ada yang kekurangan atau kelebihan. Perrbincangan adalah jalan terbaik untuk menutupi kekurangan dan membebaskan kelebihan. Sila tinggalkan KOMEN anda. Jika ada mana-mana nama individu atau organisasi yang saya nyatakan tanpa kebenaran dan telah menyinggung pihak yang berkenaan, saya mohon maaf dan sila berikan KOMEN untuk saya sunting semula. Maaf jika ada kesalahan bahasa yang tidak sengaja berlaku.)

No comments: